Sana-sini, kedengaran banyak pula kes ‘perampas’. Apa yang menyedihkan, gadis-gadis kini tanpa segan silu bercinta dengan suami orang. Alasannya, golongan ini telah mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil dan bijak mengatur perancangan hidup. Namun, di sebalik keindahan yang kamu lihat ini pernahkah kamu singkap apa yang nyata di sebaliknya? Jangan kamu tergolong salah seorang daripadanya. Sebelum kamu membuat keputusan seperti ini, fikirkan lima perkara.
Kenang Orang Tuamu
Ya, benar. Kenanglah orang tuamu yang bersusah-payah mencari wang demi memastikan kebajikan kamu menuntut ilmu sentiasa dipenuhi. Tidakkah kamu berasa kasihan betapa terlukanya hati mereka jika mendapat tahu kamu memilih suami orang sebagai pasangan? Sedikit sebanyak mereka juga pasti berasa malu dan kecewa atas perbuatanmu itu. Tergamakkah kamu membiarkan kedua-dua orang tua kecewa denganmu?
Elak Selagi Boleh
Bertepuk sebelah tangan tentu tidak akan berbunyi. Jika tidak mendapat respons daripada kedua-duanya sama ada kamu atau dia, pasti cinta tidak akan berputik. Perkara pertama yang di atas sudah cukup untuk membuatkan kamu menjadi seorang gadis yang mahal harga diri. Jangan mengharapkan kesenangan yang cepat tanpa memikirkan kesan darinya. Katakan tidak dan kekal sahaja dengan pendirianmu itu.
Sentiasa Bersyukur
Bersyukur sahaja dengan apa yang kamu ada. Walaupun belanja yang diberi cukup-cukup makan sahaja, jika kamu gunakan sebaik mungkin pasti tiada masalah dengannya. Jangan mudah terpengaruh dengan kemewahan yang dimiliki teman-temanmu yang lain. Tidak perlu kamu cuba untuk bersaing dengan mereka yang memiliki gajet-gajet mahal, makan di restoran setiap hari atau berkenderaan sendiri sehingga maruah diri tergadai. Masamu akan tiba hasil usaha dan titik peluhmu sendiri. Itu pasti lebih bermakna.
Fikir Hati Orang Lain
Apa perasaanmu jika hak milik kamu diambil orang tanpa kerelaan? Tentu kecewa, sakit hati dan marah, bukan? Jika begitu, mengapa kamu tidak berfikir panjang sebelum memilih suami orang sebagai temanmu? Kamu juga perempuan. Pastinya kamu lebih memahmi. Jangan menjadi orang yang tidak berperikemanusiaan semata-mata ingin memenuhi keinginan hati.
Jangan Jadi Mangsa Dendam
Ada kalanya emosi mereka yang teraniaya terbitnya rasa marah dan dendam. Usah biarkan dirimu terjebak dengan risiko sebegitu. Apabila hati menguasai diri, kamu pasti tidak boleh menjangka apa yang bakal berlaku ke atas dirimu. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Perasaan dendam yang tidak dapat dikawal, buruk padahnya. Sama ada di pihak kamu atau pihak yang sebaliknya. Fokus saja pada benda-benda lain dalam hidupmu.

No comments:
Post a Comment